π¨π π£π¦πβπ¨π»πΆπ¦ππ π£ππ₯ππ¨ππ¨π πππ₯πππ¦ππ π π πππππ¨π π£ππ₯ππ’π‘ππ¦πππ‘ ππ ππππ‘ π§ππ₯ππππ π¦π§πππππππ ππππ₯ππ πππ‘ π πππ₯π’-ππ₯ππππ‘π§πππ
2 November 2026 β Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) melalui Pusat Pembelajaran Fleksibel dan Micro Credential (FLEXMC) telah menerima kunjungan delegasi seramai 16 orang dari Pusat Pengurusan Kecemerlangan dan Inovasi Akademik (CoMAE-i), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bagi sesi perkongsian amalan terbaik (best practices) berkaitan pelaksanaan Stackable Degree dan Micro-Credential (MC), bersempena Mesyuarat Kerjasama antara kedua-dua universiti pada 2 November 2026. Sesi ini menjadi platform perkongsian kepakaran, pengalaman dan pendekatan pelaksanaan dalam memperkukuh ekosistem pembelajaran fleksibel serta memperluas akses pendidikan melalui konsep pembelajaran sepanjang hayat, selaras dengan agenda transformasi pendidikan tinggi negara.
Delegasi UMPSA diketuai oleh Ts. Dr. Danakorn Nincarean a/l Eh Phon, Pengarah FLEXMC, bersama Ts. Dr. Ahmad Firdaus Zainal Abidin, Ketua Teknikal FLEXMC, Mohd Shahri Mohd Akhir, Eksekutif Kanan FLEXMC, serta pasukan Unit Micro-Credential dan Stackable Degree yang diketuai oleh Puan Nani Nurnasihah Che Morni, Pereka, bersama Puan Nur Irsyadiah Mohd Salimi dan dibantu oleh Puan Nurul Ashikin. Sementara itu, delegasi UniSZA yang terdiri daripada 16 orang pegawai akademik dan teknikal diketuai oleh Prof. Madya Ts. Dr. Khamsah Suryati Mohd, Pengarah CoMAE-i. Penyelarasan sesi mesyuarat bagi pihak UniSZA dikendalikan oleh Dr. Nurshazwaniza Yahya, Penyelaras Inovasi dan Akademik CoMAE-i.
Perkongsian amalan terbaik ini memberi tumpuan kepada lima bidang utama sebagaimana digariskan oleh pihak UniSZA, iaitu tadbir urus dan model operasi FLEXMC; reka bentuk, pembangunan serta pentauliahan modul Micro-Credential; pelaksanaan Stackable Degree serta sistem sokongan dan platform pembelajaran fleksibel. Antara perkara yang dibincangkan termasuk struktur pengurusan dan mekanisme kelulusan program, model pembiayaan, pematuhan garis panduan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), penetapan Student Learning Time (SLT), jaminan kualiti modul, pemetaan dan pemindahan kredit serta integrasi rekod akademik dengan sistem pembelajaran digital. Sesi ini turut memberi ruang kepada delegasi UniSZA untuk mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai pendekatan dan pengalaman UMPSA dalam membangunkan serta mengurus pelaksanaan Micro-Credential dan Stackable Degree.
Delegasi UniSZA turut dibawa melawat kemudahan iStudio FLEXMC dan Global Classroom UMPSA bagi melihat infrastruktur serta teknologi yang menyokong pembangunan kandungan pembelajaran digital, pengajaran interaktif dan kolaborasi pembelajaran secara maya. Lawatan ini memberikan pendedahan kepada delegasi mengenai kemudahan sokongan pembelajaran fleksibel yang dibangunkan di UMPSA. Secara keseluruhannya, sesi perkongsian ini diharapkan dapat memperkukuh hubungan strategik antara UMPSA dan UniSZA, di samping membuka peluang kerjasama dalam pembangunan program akademik inovatif, pemerkasaan Micro-Credential dan Stackable Degree serta peningkatan kualiti pendidikan tinggi yang lebih fleksibel, inklusif dan berdaya saing.
Disediakan oleh:
Mohd Shahri bin Mohd Akhir
Eksekutif Kanan, FLEXMC
Gambar:
Puan Nurul Ashikin binti Mohd Anasir

