TS. DR. DANAKORN NINCAREAN A/L EH PHON
PENGARAH
PUSAT PEMBELAJARAN FLEKSIBEL DAN MICRO-CREDENTIAL (FLEXMC)

PRAKATA PENGARAH FLEXMC
PRAKATA PENGARAH
Salam Sejahtera dan Salam Malaysia MADANI.
Perubahan landskap pendidikan tinggi menuntut pendekatan pembelajaran yang lebih fleksibel, inklusif dan responsif terhadap perkembangan teknologi, keperluan industri serta aspirasi pembelajaran sepanjang hayat. Pendidikan hari ini bukan lagi sekadar menyampaikan ilmu, tetapi membina ekosistem yang membolehkan setiap individu terus belajar, meningkatkan kompetensi dan menyesuaikan diri dengan cabaran masa hadapan.
Berlandaskan aspirasi Pelan Strategik Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) 2026–2030 serta Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035, khususnya Lonjakan 8: Pendidikan Fleksibel dan Pembelajaran Sepanjang Hayat, FLEXMC komited untuk menjadi pemacu kepada transformasi pembelajaran fleksibel di universiti. Komitmen ini diterjemahkan melalui pembangunan ekosistem pembelajaran yang memperluaskan akses kepada pendidikan berkualiti, menyokong pembelajaran berterusan dan memperkukuh kebolehpasaran graduan.
Selaras dengan agenda tersebut, FLEXMC akan terus memperkasa pembangunan Stackable Degree melalui Micro-Credentials, memperkukuh pelaksanaan Open and Distance Learning (ODL), memperluaskan amalan Hybrid Classroom, serta memacu inisiatif Global Classroom sebagai platform memperkaya pengalaman pembelajaran dan kolaborasi di peringkat antarabangsa. Kesemua inisiatif ini saling melengkapi dalam menyediakan pengalaman pembelajaran yang lebih anjal, berpusatkan pelajar dan selari dengan keperluan pendidikan masa hadapan.
FLEXMC turut percaya bahawa kejayaan sesuatu ekosistem pembelajaran bergantung kepada kekuatan jaringan dan kolaborasi. Justeru, kerjasama strategik bersama fakulti, industri, agensi kerajaan serta institusi pendidikan dalam dan luar negara akan terus diperkukuh bagi memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan kekal relevan, berkualiti dan memberi impak kepada pembangunan modal insan serta kemajuan negara.
Saya yakin bahawa melalui komitmen, inovasi dan semangat kolaborasi seluruh warga universiti serta rakan strategik, FLEXMC akan terus memainkan peranan penting dalam memperkasa pembelajaran fleksibel dan pembelajaran sepanjang hayat, sekali gus menyokong aspirasi Pelan Strategik UMPSA 2026–2030 dan agenda transformasi pendidikan tinggi negara.
Sekian, terima kasih.

